Pages

July 29, 2016

KEK MARBLE SUSU 2

Dah lama akak teringinkan kek marble yang sedap.. Akhirnya terlaksana juga bila seru dah sampai.. hehe!


Walau hari ni agak sibuk dengan urusan rumahtangga, akak sempatkan juga baking dengan mengorbankan masa tidur petang. Hahaha.. jangan marah. Memang nikmat kalau dapat tidur di petang hari selepas perut kenyang. Cuma kenalah bangun sebelum Asar tiba. Akak selalu timing pukul 3-4pm. Kadang tu cuma 5-10 minit pun cukup kalau dapat tidur yang solid. Kadang tu pulak, baru nak melayang2 dah kena kejut dak Fawwaz... "emergency case" gitu..

 Resepi dah dari malam sebelum tu akak skodeng kat google. Mula ingat nak guna resipi Kak Azie (Azie Kitchen) tapi tak jadi bila terpandang yang ni. Kek marble susu yang sangat menggoda di blog Intai Dapur.

First attempt, akak rasa lain kali kena adjust suhu oven la kot. Tadi tu mungkin tak sesuai. Lagipun biasanya akak bakar kek guna suhu yang lebih rendah dari yg di resepi ni. Takpa.. asalkan kejadiannya sangat best! Kek gebu dan sedap sesangat. Akak dah makan suku bahagian la kot.. huuu. Ini pun duk terkenang2 je nak makan.. saborrr. Siap tulis ni kena lipat kain, pastu tidoq naa... Esok baru makan kek.. :P

Meh tengok resipinya..



RESIPI KEK MARBLE SUSU 
(Sumber Rujukan: Liza @ Intai Dapur)

Bahan2:

250g mentega - akak guna buttercup dalam bekas coklat tu ja..boleh juga guna majerin
200g gula kaster
2 camca teh ovalette
4 biji telur
270g tepung superfine
1 camca teh baking powder
60 g susu pekat
2 sudu besar serbuk koko
2 sudu besar susu segar - akak guna creamer sejat
1 camca teh chocolate emulco - takde stok, akak guna creamer coklat saji tu..

Cara2:

1. Ayak tepung dan baking powder
2. Putar majerin, gula dan ovallette sehingga kembang dan berkrim.
3. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil memutar adunan.
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kaup balik menggunakan spatula sahaja.
5. Masukkan susu pekat dan putar sebati.
6. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian ( atau ikut citarasa). Satu bahagian biarkan begitu sahaja tanpa pewarna. Satu bahagian lagi dicampur dengan serbuk koko, coklat emulco dan susu segar, sebatikan.
7.  Guna loyang 22cm/8 inci yang dilapik baking paper dan dilengser dengan minyak
8. Untuk kek bercorak belang harimau spt dalam gambar, sudukan 1 senduk adunan tanpa koko di tengah loyang, diikut adunan berkoko. Buat selang seli sehingga habis. Boleh juga buat corak tompok2 kemudian di lorek dengan lidi.. Ikut kreativiti ya dear.. ;)
9. Bakar guna suhu 160C-165C selama 45-60 minit atau sehingga tidak melekat bila dicucuk dengan tester. Jangkamasa masak adalah mengikut saiz loyang dan ketebalan kek.

Sebenarnya kejadiannya agak merekah sebab tertebal dan guna suhu tinggi.. tu la, sebab tak ikut suhu kebiasaan.. Apapun kejadian, rasa tetap sedap dan gebu..

July 28, 2016

Blueberry Cheese Tart Kembung

Semalam buat stock clearance..
Nampak balance cream cheese dalam peti sejuk yang rasanya tak sampai 250g. Kalau dibiarkan lama, harus bertukar ke warna pink dan terpaksa buang..
Buka cabinet pula, ada tart shell zaman bila entah.. adalah 10 biji. Itupun 2 biji dah sumbing sikit.. eheh.
Namun di hati macam terkenang ada kek span rainbow dalam freezer yang dah lama hibernate. Mana satu nak capai dulu ya..?
Akhirnya buat keputusan nak buat cheese tart yang membuncit macam trend masakini. Ini kali mesti menjadi buncitnya!

Tara.. walau tak cukup successful, rasanya dah kira menjadi. Buncit dan sedap pulak tu..


Meh akak tulis balik cara2 buat CHEESE TART yang akak guna sebelum ni. Tapi gambar tart shell takdak la yer.. Boleh klik di SINI kalau mau tengok.


TART SHELL
(Resipi asal: Azita Zain)

Bahan2:

170g majerin
50g gula aising
1 biji telur C 
290g tepung gandum
1 sk esen vanilla

Cara2:

Pukul majerin dan gula menggunakan senduk kayu
Masukkan telur dan esen vanila. Pukul.
Masukkan tepung dan uli hingga jadi doh.
Cetak menggunakan acuan tart shell mengikut saiz kesukaan. Cucuk dengan garpu di permukaannya
Bakar dengan suhu 170C-180C selama 25 minit.
Keluarkan dari acuan dan sejukkan.


CHEESE FILLING
(Resipi dari: Norien Kitchen)

Bahan2:
(anggaran 20 biji utk saiz 4.5cm)

250g cream cheese
25g mentega
50g gula aising
3 sudu makan telur - kocak2 dulu baru ambil (guna 1 biji saiz A yg dikocak)
1/2 sk esen vanilla

Cara2:

Gunakan cream cheese sejurus dikeluarkan dari peti sejuk.
Pukul cream cheese, mentega dan gula sehingga kembang.
Masuk telur dan esen. Pukul sebati.
Masukkan ke dalam piping bag dan paipkan ke dalam shell

p/s: Akak buat 1/2 adunan untuk 10 biji


CARA MEMBUAT CHEESE TART

Bahan2:

Tart shell
Cheese Filling
Filling berperisa blueberry dan lain2 ikut citarasa

Cara2:

Susun tart shell di atas loyang,
Paipkan filling ke dalam shell (dlm 1 sk)
Paipkan cheese menutupi filling dengan cara menegak dan banyak serta betul2 di tengah2 permukaan tart. Untuk hasil lebih baik, guna nozzle yang berlubang bulat dan besar (sy guna diameter 1/2 cm)
Bakar dengan suhu 180C selama 8-9 minit

July 27, 2016

NASI MAQLUBA AYAM

Projek Jumaat lepas sempena menyambut kedatangan tetamu jauh, cousin and hubby dia dari kampung. Pek nasi arab Al Bayt ni dah lama beli tapi tak terbuat sebab nak tunggu orang datang dulu. Harap rakyat yg sedia ada ni, mau 2-3 bulan kang terperosok je nasi sejuk dalam freezer.. huhuhu.

Memang mudah dan sedap NASI MAQLUBA AYAM ni.. Depa berdua suka nampaknya dan makan dengan jayanya. Ada juga balance sikit terpaksa akak simpan kat fridge dan sampai la ni langsung tak ku jenguk pun huhuhuu...



Ikut betul-betul aturcara yang tertulis di belakang kotak tu...

Mula2 penyediaan ayam panggang dia.. Akak grilled guna pressure cooker je.. eh! bukan Noxxa.. tapi jenama Philips je yg tak sampai separuh harga Noxxa hehe.. Memang best periuk ni. Tapi akak bukan la nak promote percuma pun.. Kejadiannya, ayam sangatlah lembut. Macam Kenny Rogers Roasters tuuuu... ahahaa.

Dalam pek Al Bayt dah siap ada BERAS, REMPAH SERBUK dan REMPAH TUMIS. Mai tengok cara2nya...

AYAM PANGGANG:


Bahan2:

1 ekor ayam (akak potong 4 bahagian)
1 1/2 sudu besar rempah serbuk maqluba
5 ulas bawang putih - tumbuk/kisar
2 sk garam halus
2 sudu besar minyak
* saya tambah sedikit madu (opt)

Cara2:

Perap ayam dengan bahan2 di atas sekurang-kurangnya 1 jam.
Panggang di dalam oven selama 1 jam dengan suhu 180C. Balikkan ayam selepas 1/2 jam.
Simpan lebihan minyak yang keluar semasa memanggang.

* Jika guna PRESSURE COOKER PHILIPS, masukkan ayam ke dalam periuk dan pilih menu BAKE/CHICKEN. Jangan lupa set tombolnya ke arah yg sesuai. Tutup periuk, kemudian Terus tekan start. PC ni ambil masa 30 minit. Apabila masuk minit ke 15, balikkan ayam dan tutup kembali sehingga berbunyi "beep" atau proses selesai.
Simpan lebihan minyak yang keluar semasa memanggang untuk dicampur semasa menanak nasi.





NASI MAQLUBA

Bahan2:

Beras basmathi 
1 biji bawang besar (akak guna bawang holland) - hiris bulat
5 ulas bawang putih
1 sudu besar rempah maqluba
650ml air
2 biji terung panjang (dihiris bulat dan jangan terlalu nipis)
2 biji kentang (dihiris bulat dan jangan terlalu nipis)
200g bunga kobis
1 batang cili hijau
2 biji tomato - hiris bulat
Sedikit minyak masak 
2 sk garam
1 biji cili hijau

Cara2:

1. Rendam beras 20 minit atau lebih dan toskan.
2. Goreng kentang, terung dan bunga kobis terlebih dahulu.
3. Tumis rempah hidup (kayu manis, buah pelaga dan cengkih yg sedia dalam pek), bawang besar, bawang putih dan rempah maqluba.
4. Masukkan 650ml air ke dalam tumisan. Biarkan mendidih.
5. Dalam rice cooker - Susunkan tomato, kentang, terung dan bunga kobis di dalam "rice cooker"
6. Masukkan beras yang telah ditoskan ke atas susunan sayur dan tuang air tumisan rempah tadi ke dalamnya.
7. Tabur garam dan letakkan cili hijau (jangan hiris)
8. Tanak nasi sehingga 80% masak, kemudian masukkan minyak ayam panggang yang disimpan tadi. Gaulkan perlahan-lahan. Biarkan sehingga nasi masak.

Toskan nasi

Air tumisan rempah
Susun sayuran
Tuang nasi dia atas sayur
Tuangkan air tumisan rempah dan letak cili (hehe.. akak masa ni takda cili hijo tu.. boh je yg merah :P)
Selepas dituang minyak ayam, gaul sedikit dan biarkan nasi masak. Kemudian terbalikkan di atas dulang atau bekas sebelum dihidang

SAMBAL/SOS HARRAH


2 biji tomato
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil perahan lemon
Daun ketumbar
Cili padi
Sedikit garam

Cara2:
Kisar semua bahan tanpa air


SALAD

2 biji tomato, 1 batang timun, bawang holland, sedikit garam dan gula

July 25, 2016

Kek Buah Kukus Moist

Tiba2 raya tahun ni akak dapat angin mengukus kek buah walau sebelum ni tak suka akannya. Bukan apa, teringat yang selalu mak2 sukakan kek buah ni. Dan kebetulan ada juga yang sudi nak order walaupun belum pernah jual sebelum ni.

Best thing about kek buah, walaupun kena kukus berjam2, akak dapat buat dengan tenang. Takyah nak kecah2.. sempat kukus sambil tidur lagi. Maklumla, puasa hari tu akak mengalami keletihan yang luar biasa kalahkan budak2 puasa. Tekanan darah pun jadi amat rendah.

Ada banyak resipi akak dapat masa bulan puasa ni. Termasuk dari orang popular di kalangan facebookers.  Ada 2-3 resipi akak cuba, tapi hat yang satu ni jugak yang akak berkenan. Kejadiannya moist sekali..



RESIPI KEK BUAH KUKUS

Sumber rujukan: Nadz @ ovenkecil.blogspot.com
Loyang/bekas plastik tahan microwave saiz 7 " + bekas kecil 5" x 3"

Bahan2:

225g mentega (pernah terletak 250g, still OK.)
340g gula pasir
50g air panas
500g mixed fruits / buahan campuran
3 biji telur A
1 sk esen vanilla

Bahan ayak:

350g tepung gandum
1 sk cream of tartar
2 sk soda bikarbonat
1 sk serbuk buah pala (saya tak letak tp ganti dengan 1/2 sk serbuk cinnamon)

Cara2:

1. Mula2 buat gula hangus (karamel). Cairkan gula di dalam kuali dan apabila telah cair (berwarna keperangan), tuang air panas perlahan2. Berhati2 sewaktu menuang ya.. Masak seketika sehingga gula sebati. Masukkan butter sehingga cair kemudian masukkan pula buah-buahan campuran. Kacau sebati dan biarkan mendidih sebentar. Matikan api dan sejukkan.
2. Masukkan bahan ayak ke dalam adunan buah-buahan (mixed fruits) sedikit demi sedikit dan kaup balik menggunakan senduk kayu/spatula hingga sebati.
3. Dalam mangkuk lain, pukul telur dan esen sehingga kembang. Kemudian masukkan perlahan ke dalam adunan kek dan gaul sebati menggunakan senduk kayu.
4. Gunakan loyang 7"x7" yang dialas dengan kertas baking dan dilengser dengan mentega atau minyak; atau bekas plastik tahan microwave bersaiz sama. Tuang adunan ke dalamnya dan tutup dengan aluminium foil. (Saya timbang dalam 1.2kg utk 7x7 dan 300g utk saiz kecil)
5. Kukus selama 4 jam untuk hasil terbaik. Masa mengukus minimum ialah 2 jam. Periksa air kukusan selepas 1 1/2 jam untuk mengelakkan kering. Tambah dengan air panas.
6. Biarkan sejuk baru keluarkan dari loyang. Untuk mengekalkan kelembapan (moist) dan tahan lebih lama, balut dengan plastik cling kemudian masukkan ke dalam bekas dan simpan di dalam peti sejuk.


GAMBAR PERISTIWA..

Mixed fruits.. ada yang nampak cantik bersih dan ada yang jenis melekat..
Boleh guna terus atau rendam sekejap mixed fruits dengan air panas dan tapis
Nak sedap guna pure butter.. Tapi buttercup dan yang sewaktu pun OK je..
Proses membuat gula hangus

Dengan api perlahan, masukkan butter diikuti buahan campuran ke dalam gula hangus dan kacau sebati
Setelah dicampur dengan bahan2 yang diayak dan dimasukkan telur
Masukkan ke dalam loyang atau bekas 
Tutup rapat dengan aluminium foil..
Bila kek dah sejuk, baru keluarkan dari loyang
Walau rupa tak cantik, rasa tetap sedap 
Hat ni versi resipi lain sebenarnya... letak sedikit sunquick ke dalam adunannya

July 14, 2016

Eidulfitri 2016

Alhamdulillah... dah seminggu Syawal. Hari ni usaha membayar puasa yang tertinggal pun bermula. InsyaAllah dah 2 hari hehe.. Yang kena qada adalah 15 hari yong.. huwaaa!!


Tahun ni first time akak tak beraya di kampung halaman terchenta. Dan juga first time beraya dengan en abe di Kedah.. Kali ni boss buat request untuk beraya bersama selepas 10 thn duk raya berasing. Akak ni jenis malas nak banyak citer, I follow jer laa.. Semua pun boleh hadam dengan baik. Cuma kali ni akak rasa hampir kehabisan tenaga sebab banyak benda kena buat sendiri. Biasa2 tu jadi assistant chef ja dan ramai kakitangan. Dari ambik order ke masak dan kemas untuk rumah sendiri.. adoi laaa capek dibuatnya. Sebab tu akak terpaksa tolak banyak order esp kek yang berkrim2 dan cuma ambil hat mudah dan sikit je. Mengenangkan tenaga orang tua nih.. ohohohoo tua dah ya! :P

Menu macam biasa versi Jawa.. Nasi impit dan kuah lodeh, sambal sate (kuah kacang), rendang hitam ayam, ketupa dan kek2 serta biskut raya.

Hari Raya pertama di Kedah jemput adik beradik sendiri je. Tak sempat pun nak keluar rupanya. Abe pulak macam takdak sedara lain jer selain adik beradiknya.. ya ampuuun. Raya kedua barulah dapat keluar dan berkumpul sekali lagi dengan kaum kerabat. Raya ketiga mak dan anak terus merempit balik kampung di Selangor. Jauh la.. Jitra ke Sabak tu ambil masa 5 jam+ kalau tak tersekat di mana2. Kenderaan kat jalan pun dah banyak masa tu. Mujur ada laluan khas yang tak berapa banyak kenderaan nak lalu hihi. Exit di Changkat Jering dan melalui Beruas, Perak. Cuma yang gigih je boleh lalu jalan tu hahaha!

Plan nak balik 3 malam je, tapi sebab kuasa veto budak kecik tu amat power, kenalah tambah 1 malam lagi. Tu pun kira OK sebab sampai2 je dia kata nak sampai hari Sabtu (means 1 minggu). Suka hati awak la nak.. sekolah tu abi punya kan.. ahahaha. Beraya di kampung memang meriah sokmo. Walau dah luak 3 hari, namun tetamu masih bertali arus datang dan kebanyakannya secara berjemaah. Selain kami pun keluar bertandang ke rumah yang jauh2 dan dekat. Memang penat sikit la. Bila dah malam, semua pakat pengsan.. hihi.

RAYA 1

Wefie dulu..
Tetamu tetap makcik bila ada perayaan hihi.. tapi ada juga yg baru first time datang
Ipar duai dan menakan..

Anak kpd tailor akak yg comel..

RAYA 2

Di rumah abang sulong a.k.a Long Din..
Berkumpul di rumah kakak ke 5 aka Kak Dah (Mak Ndak)

RAYA 4 @ RUMAH KUNING

Bersama makcik bongsu & suami (tuan rumah) dan cousin (kami pengecop regular ruang tamu depan TV utk tidur hehe..)

RAYA 2 di kampung (sewaktu ku tiada..)

Perjumpaan keluarga keturunan Hjh Siti Makiah (nendaku..). Kali ni giliran di rumah makcik sulong..

Kualiti gambar kali ni semua hancus. Mostly guna camera HP Samsung abe.. Selalunya elok je, tapi time posing raya ni meragam lak. Yang guna timer lagi hancus.. Takpa la no.. janji ada jugak kenangan tu..


July 1, 2016

Biskut Cornflakes yang Mudah tapi Rangup

Duk memikir nak tambah cookies kat dapur tu, tetiba akak jatuh berkenan pada satu resipi ni. Sangat mudah. Apalagi bahan2 semua ada terutama cornflakes yang dah berbulan tak habis2 tu. Walau asalnya akak nak buat tart nenas la, pastu sarang semut la.. akhirnya biskut cornflakes juga yang jadinya. Kalini akak buat terus dua adunan dan dapat 2 tray hitam tu..


Akak dah tak berapa ada masa nak bebel macam selalu.. heheh. Meh kita terus check resipinya. 



BISKUT CORNFLAKES RANGUP
Resipi asal dari: Amy Ayu Marissa (FB)

Bahan2:

1 cawan tepung gandum
125g mentega
1/4 cawan gula castor
1 sk esen vanilla
1 cawan cornflakes - diramas kasar

Cara2:

Kacau mentega, gula dan esen vanilla hingga sebati. Gunakan senduk kayu sahaja.
Masukkan tepung gandum dan kacau lagi.
Akhir sekali masukkan cornflakes yang kacau 'gitu'2 je
Bentukkan hanya menggunakan sudu sahaja terus ke atas tray yang disapu mentega/majerin atau alas sahaja dengan baking paper.
Bakar dengan suhu 160C selama 18-22 minit.
(Akak bakar menggunakan 'fan' setting selama 20 minit, sekali masuk 2 trays)




Resipi asal.. terima kasih ya :)

Related Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...