Pages

April 28, 2016

Paratha Puff Sayur

Kejadian petang kelmarin...


Kalau abe ada di rumah, memang tiap petang kena buat sesuatu untuk minum petang. Apa tidaknya, nasi yang di pinggan waktu makan tengahari belum pun selesai, dah tanya petang nak minum (makan) apa.. hahaha! Memang dah berjaya di 'spoilt'kan perut suami ku tu..

Duk fikir apa nak buat dengan paratha segera jenama Kawan tu, tetiba idea keluar. Memang pernah nampak kat FB satu post pasal paratha ala2 puff pastri ni tapi puas kucari takda pulak untuk ditiru! Last2 guna resipi sendiri.. Sodap la jugak.. sonang pun yo.. cepat je buatnya.

Beginilah caranya..



PUFF SAYUR

Bahan2:

Paratha segera jenama KAWAN
Kuning telur sebagai sapuan

INTI

1 cawan sayur campur (mix vege)
1/4 biji bawang holland - hiris
2 keping sosej - rebus dan potong kecil2
Ajishio pepper
Sedikit majerin untuk menumis
Keju mozarella

Cara buat inti:

Panaskan 1 sudu majerin dan tumis bawang sehingga layu
Masukkan sayur campur dan sosej. Gaul rata
Renjis2kan ajishio sedikit, gaul dan matikan api.
p/s: tak perlu letak garam pun..

Cara menyiapkan puff:

Sila rujuk pada gambar ya sayang...
Paratha dipotong 4 atau 3 jika nak lebih besar.
Letak inti di tengah2
Kemudian dilipat dua dan tekan dengan garpu.
Sapu atasnya dengan kuning telur
Bakar dengan suhu 190C selama 20 minit atau sehingga masak keperangan



Hat bawah ni saja nak enter prem.. projek semalam .. hihi


April 25, 2016

Koci Keledek Kegemaran Orang Jawa

Harini akak gigih buat kuih ala2 kenduri rewang di kampung Sungai Air Tawar.. Alaaa..kampung akak laa.. Kan kalau nak kenduri kawin terutamanya, kena buat kuih secara berjemaah...

Sebenarnya ini projek terbengkalai. Asalnya adik order koci ni untuk kenduri tapi terpaksa cancelled sebab tiba2 akak tak dapat buatkan pada hari yang diminta. Padahal dah beli bahan2 kecuali daun pisang. Dah beberapa minggu, keledek yang banyak sedikit demi sedikit dikurangkan.. jadi inti karipap dan ini buat koci.. Tinggal sebiji je lagi, tengoklah nak buat apa nanti. Jangan dia layu dulu sudahlah...


Akak dah selalu share buat koci lagu nih.. Ala, sambil pejam pun Kak Melah boleh buatlah.. Ni akak buat sambil boring sebab ada orang luar kat dalam dan luar rumah duk pasang CCTV sedari pagi tak selesai2. Rumah comel.. tak tau nak menyorok kat mana. Duk la lepak kat dapur terbuka ni sambil buat projek.. Udahlah fanas kan.. en abe dan Fawwaz gilir2 buka peti sejuk nak minum setiap 15 minit... hihi!!


KOCI KELEDEK

Bahan2:

Keledek - direbus empuk
Tepung pulut
Sedikit air
Inti kelapa - lihat di bawah
Daun pisang
Minyak masak

Cara2:

Lenyek keledek yang telah direbus.
Campur dengan tepung pulut (anggaran 1.5 - 2 kg keledek + 1 kg tepung)
Uli hingga sebati. Tambah air sedikit2 sehingga menjadi doh yang cantik dan boleh dibentuk.
Sediakan daun pisang seperti dalam gambar untuk membentuk kon atau boleh juga dibentuk cara lain.
Ambil dalam 15g doh dan tambah inti. Bulatkan.
Letak dalam mangkuk berisi minyak, golek2kan baru dibungkus.
Kukus dengan api sederhana dalam 30 minit atau sehingga masak dan daun layu.
Koci keledek tahan dalam suhu bilik selama sehari semalam bergantung kepada cuaca dan cara penyediaannya.

INTI

Kelapa parut - sebaiknya yang muda dan ambil yang putih sahaja
Gula merah
Sedikit gula pasir
Daun pandan
Sedikit air

Cara2:

Campurkan kesemua bahan.
Biarkan seketika dalam 1 jam (supaya lebih sebati rasanya), baru dimasak atas api sehingga airnya kering dan inti masak elok.

Daun kena potong macam ni
Letak inti dan bulat2kan dan golek2kan dengan minyak masak
Bentuk kon ni standard yang orang2 kampung akak buat bila kenduri

Maaflah.. resipi ni tak lengkap sebab akak main agak2 je semua.. Sebenarnya tak kisah pun banyak mana tepung atau keledek. Yang penting masa menguli tu adunan tak lembik.. asal jadi doh saja..


April 24, 2016

Kek Coklat Kukus Cheese... Sedap!

Lapaq kek.. tapi nak yang kukus2 punya..

Terpikat dengan gambar di satu blog kompilasi kek yang nampak mengiurkan.. Tengok ada cukup bahan, terus akak proceed.. Masa mula jadi tu tak berapa mengancam rasanya walau abe tunjuk ibu jari.. Maklum, sejam dia menunggu kuih minum petangnya siap.. Hari ni selepas beberapa hari kek hibernate kat dalam peti sejuk, terasa pula akan kesedapannya... hehehe!



KEK COKLAT KUKUS CHEESE
Sumber: resipiku.net

Bahan2 Kek Coklat:

2 biji telur gred A
1 cawan gula halus
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam
1/2 cawan air panas
1/2 cwan susu cair
1/2 cawan minyak jagung
1 cawan tepung gandum *
3 camca besar serbuk koko *
1 camca teh soda bikarbonat *
1/2 camca teh baking powder *
(Bahan bertanda * disatukan dan diayak)

Bahan2 Lapis Cheese:

250g krim cheese
60 g gula halus
1 biji telur A
1 camca besar air
1 camca besar tepung gandum

Cara2:

Panaskan kukusan. Lenser loyang berukuran 8" x 8" x 3" dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak/baking paper. Lenser juga kertas tadi. Ketepikan.

Kek Coklat

1) Putar telur dan gula hingga kembang dan pekat, masukkan esen vanilla dan garam, putar rata.
2) Tambah susu cair, minyak jagung dan air panas. Putar sebati dengan kelajuan sederhana.
3) Masukkan bahan2 yang diayak sedikit demi sedikit hingga habis. Putar rata.
4) Bahagikan kepada 2 sama banyak. Ketepikan.

Lapisan Cheese

1) Putar krim cheese dan gula hingga sebati dan licin
2) Masukkan telur dan pukul hingga kembang
3) Tambah tepung dan air, putar hingga sebati dan tidak berbintil2

Proses Seterusnya - mengukus dan melapis

1) Tuang satu bahagian kek coklat ke dalam loyang. Ratakan dan tutup dengan aluminium foil.
2) Kukus selama 20 minit, menggunakan api sederhana
3) Tuang pula adunan krim cheese, ratakan dan kukus lagi selama 20 minit.
4) Tuang baki adunan kek dan kukus selama 45 minit atau sehingga masak (bila dicucuk tidak melekat)
5) Sejukkan kek sekejap, baru dikeluarkan dari loyang
6) Bila sejuk sepenuhnya baru boleh dipotong.
7) Tuang dengan chocolate ganache untuk menambah kesedapan.


April 23, 2016

Apam Balik

Suatu hari akak teringin sangat nak makan apam balik yang lembut.. selalu ada di pasar malam tu. Tapi apam nya tak mari2.. Sebut banyak kali pun tak juga sampai.. huhuhu. Memang kalau dengan roomate kat rumah ni tak boleh nak pakai bahasa kias2.. Tapi akak memang jenis tak reti minta walau hanya sepotong apam balik.. hihi. Selalu kalau dia pegi pasar (sokmo abe yang kena pergi sebab akak tak berapa suka gi pasar), akak cuma cakap belilah apa yang dia rasa nak makan dan perlu dimasak.

Disebabkan semua bahan ada kat dalam gobok, akak pun buatlah sendiri di suatu petang nan damai untuk dimakan bersama abe sambil mengadap tasik. Dapatlah beberapa keping apam balik pelbagai rupa.. dan sampai ke esok pagi akak masih makan apam tu.. haha.

Meh tengok camna buatnya.  Resipi akak cedok kat internet.. tapi sebab snap bahannya, akak lupa kat mana tuan tanah tu. Anyway, moga dimurahkan rezekinya sebab kongsi resipi.. Akak buat separuh adunan saja dan dapat beberapa keping kecil macam dalam gambar.



APAM BALIK 

Bahan2:

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
Sedikit pewarna kuning - akan datang tak mau letak pewarnalah..
1 biji telur - untuk separuh adunan, timbang dulu, kocak dan bahagi dua.
1 1/2 cawan air
Sedikit mentega/majerin untuk oles - kalau nak cantik, oles batch pertama saja. Yang lepas tu tak perlu..
Bahan tabur - saya guna gula perang, kacang tanah, inti kacang merah dan sedikit mentega. Sebahagian pula saya tabur dengan cheddar cheese parut ;)

Cara2:

1. Putar gula dan telur sehingga kembang
2. Masukkan baking powder, soda bikarbonar dan air. Putar lagi sehingga sebati.
3. Masukkan tepung. Putar sehingga sebati dan halus.
4. Menggunakan pan non stick bersaiz kecil, oleskan terlebih dahulu pan tersebut dengan majerin dan panaskan dengan api kecil.
5. Tuang satu senduk adunan dan biarkan sebentar. Lenggangkan sedikit selepas menuang jika mau lebihan di tepinya.
6. Bila permukaannya hampir masak, taburkan gula, kacang dan bahan inti yang lain.
7. Apabila cukup masak, lipat dua dan angkat.

p/s: saiz dan ketebalan apam adalah mengikut citarasa ya.. ;)

Macam2 rupa ada.. hangus pun masuk jugak.. haha!

Pan dangan permukaan bersaiz 7"


Komen abe, lepas ni dah tak payah beli... buat sendiri je. Hurmmm...


April 19, 2016

JUBAH MUSLIMAH dan BLOUSE 2016

BOLEH BUAT RAYA... BOLEH TEXT/PM/WHATSAPP AKAK 
(019-2240325) JIKA BERHAJAT..
ADA PELBAGAI PILIHAN WARNA DAN JUGA SAIZ


JAMEELA
RM149


OLIVIA
RM149


JUBAH ROSEMARIA
RM165
Pilihan 6 warna



TUNIC SANIAA
RM89


April 18, 2016

Kek Rainbow dan Brownies Hantaran

Alhamdulillah.. bestnya rasa bila bumi dibasahi hujan. Dah 3 hari hujan di kawasan akak ni. Walau tak lebat, mampu menyejukkan sedikit suasana malam. Tapi malam ni agak hangat sikit la.. Kena juga pasang aircond awal2.. seawal anak bujang akak tidor pada pukul 9 malam.

Cerita tentang projek minggu ini.. Yang pertama ialah BROWNIES untuk hantaran bertunang. Kadang bab untuk hantaran ini end up dengan akak sendiri rasa bersalah ke apa yaa.. Sebab akak selalu stuck dengan saiz dulang atau kotak yang disediakan. Kebiasaannya, customer ada pelbagai pilihan. Samada menyediakan sendiri bekas atau menyerahkan bulat2 pada akak. Akak paling senang kalau depa dah siap2 bagitau saiz atau bajet. Lagi suka kalau dah tunjuk gambar deco macamana depa mau, so akak just copy paste jer.. hehe. Kalau takda semua tu, akak akan carikan.. kalau sempatla. Kadang terpaksa merempit ke Alor Setar dan patah ke Jitra kalau tak juga dapat barang. Maklum, pengetahuan akak ni bukan luas nak cari lubuk mana nak cari sesuatu barang tu..

So, inilah hasil BROWNIES HANTARAN simple akak minggu ni. Terpaksa kecilkan saiz ke 7 inci (standard 8"). Sebab kotak comel yang ada tu je akak sempat grab dari kedai. Terima kasih Cikgu Huda atas kesudian meng'order'.



Projek kedua ialah KEK PELANGI aka RAINBOW yang dah lebih setahun akak tak buat dengan alasan bercuti. Memang ada kesan sikit la kan.. Kek span akak tak berapa naik haritu hihi.. Tapi sebab bukan untuk jualan tak mengapalah. Yang ini merupakan sumbangan bagi pihak anakanda yang meraikan sambutan hari jadi bersama kawan2. Mereka sambut secara jamak untuk 1 tahun terus. Memandangkan mak nak buat pulut kuning tak siap2, dapat sediakan sebiji kek yang ceria pun jadilah ye.. huhu. Alhamdulillah, semua orang suka... Jadi lepas ni boleh la akak buka balik tempahan untuk kek span rainbow pada siapa yang sudi.


Filling dan frosting menggunakan cream cheese yang sodap.. lemak manis gitu!


Boboiboi Ahmad Fawwaz sedang menerima hadiah hari jadi.. langsung tak pandang kiri kanan, laju je naik turun pentas... :D


April 14, 2016

Sup Ikan Jenahak - Resipi Berpantang

Dah lama tak buat dan makan sup ikan... Kalau tak kerana ada budak sedang berpantang, memang selalu lupa menu yang ini.. Tengan musim panas ni menambah nikmat nak memakannya.


Untuk sup ikan, akak paling suka ikan jenahak dan juga ikan merah. Sesekali layan ikan biji nangka a.k.a ikan kerisi (kot.. hehe) untuk resipi sup yang menggunakan cara lain untuk memasaknya. Lain ikan, lain gaya memasaknya.. gitulah!

Nak tambah sedap, masa makan letak sekali sambal kicap.. wahh!! Tapi idokle Fawwaz mau kalau ada sambal atau benda berkicap. Anak akak tak macam mak dia yang hantu kicap. Dia tak berapa suka kicap.. tapi sesekali dia makan juga kalau tiada pilihan.. Sebenarnya bagusla sangat2 kalau dia tak suka tu kan... Makan yang healthy ja..


SUP IKAN JENAHAK

Bahan2:

2 potong ikan jenahak (atau ikan apa saja)
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 batang kayu manis (sederhana kecil)
1 kuntum bunga lawang
2 biji pelaga
2 biji cengkih
Bawang goreng
Daun sup/bawang
Garam secukup rasa
Lada hitam/putih
Air secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
Jika suka, tambah sayuran seperti carrot dan tomato, atau lain2.

Cara2:

Tumbuk bawang putih dan halia.
Panaskan minyak dan tumis bunga lawang, kayu manis, buah pelaga dan bunga cekih.
Kemudian masukkan bahan tumbuk dan tumis sehingga layu.
Masukkan air dan didihkan.
Masukkan ikan dan apabila sudah masak, masukkan bawang goreng dan daun sup.
Perasakan dengan garam dan lada.
Tutup api.

Untuk sambal kicap:

Tumbuk cili padi (10 biji), bawang putih (1 biji yang kecil sahaja) dan 1/2 sk gula. Letak dalam bekas dan curahkan sedikit kicap manis menutupi cili. Kacau sebati.



April 11, 2016

BROWNIES... lai lai!!

Alhamdulillah... syukur atas segala rezekiNya, baik yg nampak ataupun tidak..


Mood membakor brownies sentiasa ON di dapur hijo akak...  Untuk minggu ni beberapa tempahan brownies masuk dalam kesuntukan masa mengurus anak teruna yang baru masuk 7 hari bersunat. Alhamdulillah.. hari ni dia dah boleh menyarung seluar dan ke sekolah, membuat cikgu pun terkejut.. hehehe.

BROWNIES akak buat ni versi chewy gooey versi kedutz... dengan taburan almond flakes dan chocolate ganache, bersaiz standard 8" x 8" (harga RM40) dan pilihan 10" x 10" (harga RM48).. Kalau beli secara jemaah, harga lain boleh dipertimbangkan.. ;)

Kalau untuk tujuan HANTARAN, atau perlukan deko yang lain sikit, boleh bincang dengan akak. Nyatakan bajet, lagi senang akak nak berkira-kira.. wokehh laling semua!!. Asalkan, timing betul.. ehehehe. Bukan apa, akak ni sesuka hati je berniaga.. kadang ON kadang OFF.. Janji hati bahagia, tak sakit, BP normal gituuu...

Akhir kalam, TERIMA KASIH buat adinda Zila, Mimi dan Fizah yang order minggu ni..


Saja nak enterframe... untuk makan sendiri je..


Related Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...